Sumber Artikel: Harian Metro 2014/09/17
Dikurniakan cahaya mata antara anugerah paling ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
Tidak kira jantina, kehadiran si kecil mampu mengeratkan lagi kasih
sayang antara suami isteri. Begitupun, kebanyakan ibu bapa muda tidak
mempunyai ilmu keibubapaan yang cukup.
Ini menyebabkan ada sebilangan mereka gagal menangani ragam si kecil
terutama apabila bayi kerap menangis. Perubahan gaya hidup yang dialami
masyarakat hari ini turut menyebabkan ramai ibu bapa muda tidak gemar
menggunakan kaedah tradisional seperti membedung bayi terutama ketika
hendak menidurkan bayi mereka.
Ramai yang memberi alasan bayi akan menangis atau mengeluarkan
tangan daripada bedung membuatkan mereka mengambil keputusan untuk
meninggalkan amalan tradisional yang berguna ini.
Menurut Perunding Tangisan Bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib, konsep
bedung bukan sesuatu yang baru kepada bayi kerana sejak dalam perut, dia
(bayi ) sudah biasa ‘terhimpit’ oleh dinding rahim.
Kata Uswatun, bedung bukan sekadar satu amalan tradisional tetapi
sebaliknya mempunyai banyak kelebihan tersendiri terutama dari segi
sensasi sentuhan berpanjangan.
“Bayi yang berusia sehari hingga tiga bulan paling sesuai untuk
dibedung kerana masih dalam tempoh proses menyesuaikan diri dari satu
dunia ke dunia baru.
“Ini kerana bedung adalah langkah pertama untuk membantu bayi
bertenang kerana ia (bedung) bagaikan berada di dalam dakapan ibunya
sendiri.
“Selain itu, ia juga membuatkan bayi berasa lebih selamat kerana
apabila dia terkejut dengan bunyi sesuatu, tangannya tidak terangkat
atau terjaga (kesan Moro),” katanya.
Jelas Uswatun lagi, ibu bapa perlu mempelajari teknik bedung dengan
betul kerana jika dibedung dengan cara yang salah, bayi akan menjadi
tidak selesa dan meragam.
Justeru, ibu bapa perlu mahir teknik membedung dengan cara yang betul untuk keselesaan dan keselamatan bayi kesayangan.
Kata beliau, terdapat beberapa teknik yang harus diikuti untuk
memastikan bayi selamat apabila anda mengangkat, mendukung atau
membuainya ketika dibedung.
Bagi masyarakat luar bandar terutamanya, teknik bedung konvensional
iaitu dengan cara lipatan atau simpulan kain paling banyak digunaka.
“Biasanya ia menggunakan kain lampin atau kain bedung diperbuat daripada
kain kapas. Teknik moden yang kini semakin mendapat perhatian adalah
menggunakan kain bedung yang direka khas untuk memudahkan bayi dibedung
dengan penggunaan butang atau pelekat.
“Namun, tidak kira teknik moden atau konvensional, sebagai ibu bapa,
anda perlu lebih hati-hati kerana bedung yang tidak kemas sebenarnya
boleh membahayakan keselamatan bayi” katanya.
Menurut Uswatun lagi, bagi menentukan tempoh masa yang sesuai untuk
membedung bayi, ibu bapa perlu mengenal pasti kategori anak mereka
sendiri.
Ini disebabkan bayi yang baru lahir boleh dibahagikan kepada dua kategori biasa iaitu jenis senang dijaga dan sensitif.
Bagi bayi yang tidak banyak ragam dan senang dijaga, kaedah bedung
sesuai untuk digunakan ketika tidur pada waktu pagi atau malam.
“Untuk bayi yang banyak ragam, anda boleh bedung bayi selama 12
hingga 20 jam sehari. Ini kerana jika bayi terjaga ketika tidur, bedung
di sekelilingnya boleh membuatkan dia kembali lena,” katanya.
Bedung sebagai pengganti dakapan ibu
Bedung mengelakkan bayi menggosok atau mencakar mukanya
Bayi yang tidak dibedung mudah terkejut dan tidak tidur lena
Antara kebaikan membedung bayi:
• Bayi yang baru dilahirkan hingga berumur tiga bulan disarankan supaya dibedung.
• Bedung boleh mengelak bayi mudah terkejut dengan bunyi bising di sekelilingnya.
• Kain bedung lembut yang membalut bayi membuatkan bayi terasa seperti di dalam rahim ibunya.
• Bedung boleh mengelakkan bayi daripada menggosok atau mencakar mukanya sendiri terutama jika tidak dipakaikan sarung tangan.
• Bedung boleh mengelakkan bayi daripada kesan Moro (terkejut dengan sesuatu).
• Membedung bayi juga dipercayai boleh meredakan tangisan dan menenangkan bayi.