Wednesday, 17 September 2014

Bedung bantu bayi bertenang

No comments:

Sumber Artikel: Harian Metro 2014/09/17



Dikurniakan cahaya mata antara anugerah pa­ling ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.


Tidak kira jantina, kehadiran si kecil mampu mengeratkan lagi kasih sayang antara suami isteri. Begitupun, kebanyakan ibu bapa muda tidak mempu­nyai ilmu keibubapaan yang cukup.

Ini menyebabkan ada sebilangan mereka gagal menangani ragam si kecil terutama apabila bayi kerap menangis. Perubahan gaya hidup yang dialami masyarakat hari ini turut menyebabkan ramai ibu bapa muda tidak gemar menggunakan kaedah tradisional seperti membedung bayi terutama ketika hendak menidurkan bayi mereka.

Ramai yang memberi alasan bayi akan menangis atau mengeluarkan tangan daripada bedung membuat­kan mereka me­ngambil keputusan untuk meninggalkan amalan tradisional yang berguna ini. 

Menurut Perunding Tangisan Bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib, ­konsep bedung bukan sesuatu yang baru kepada bayi kerana sejak dalam perut, dia (bayi ) sudah biasa ‘terhimpit’ oleh dinding rahim.
Kata Uswatun, bedung bukan sekadar satu amalan tradisional tetapi sebalik­nya mempunyai banyak kelebihan tersendiri terutama dari segi sensasi sentuhan berpanjangan.

“Bayi yang berusia ­sehari hingga tiga bulan paling sesuai untuk dibedung kerana masih dalam tempoh proses menyesuaikan diri dari satu dunia ke dunia baru.

“Ini kerana bedung adalah lang­kah pertama untuk membantu bayi bertenang kerana ia (bedung) bagaikan berada di dalam dakapan ibunya sendiri.

“Selain itu, ia juga membuatkan bayi berasa lebih selamat kerana apabila dia terkejut dengan bunyi sesuatu, tangannya tidak terangkat atau terjaga (kesan Moro),” katanya.

Jelas Uswatun lagi, ibu bapa perlu mempelajari tek­nik bedung dengan betul kerana jika dibedung dengan cara yang salah, bayi akan menjadi tidak selesa dan meragam.

Justeru, ibu bapa perlu mahir teknik membedung dengan cara yang betul untuk keselesaan dan keselamatan bayi kesayangan.

Kata beliau, terdapat beberapa teknik yang harus diikuti untuk memastikan bayi selamat apabila anda mengangkat, mendukung atau membuainya ketika dibedung.

Bagi masyarakat luar bandar terutamanya, teknik bedung konvensional iaitu dengan cara lipatan atau simpulan kain paling banyak digunaka.

“Biasanya ia menggunakan kain lampin atau kain bedung diperbuat daripada kain kapas. Teknik moden yang kini semakin mendapat perhatian adalah menggunakan kain bedung yang direka khas untuk memudahkan bayi dibedung dengan penggunaan butang atau pelekat.

“Namun, tidak kira teknik moden atau konvensional, sebagai ibu bapa, anda perlu lebih hati-hati kerana bedung yang tidak kemas sebenarnya boleh membahayakan keselamatan bayi” katanya.

Menurut Uswatun lagi, bagi menentukan tempoh masa yang sesuai untuk membedung bayi, ibu bapa perlu mengenal pasti ­kategori anak mereka sendiri.

Ini disebabkan bayi yang baru lahir boleh dibahagikan kepada dua kategori biasa iaitu jenis senang dijaga dan sensitif.

Bagi bayi yang tidak banyak ragam dan senang dijaga, kaedah bedung sesuai untuk digunakan ketika tidur pada waktu pagi atau malam.

“Untuk bayi yang ba­nyak ragam, anda boleh bedung bayi selama 12 hing­ga 20 jam sehari. Ini kerana jika bayi terjaga ketika tidur, bedung di sekelilingnya boleh membuatkan dia kembali lena,” katanya.
 

 Bedung sebagai pengganti dakapan ibu

 Bedung mengelakkan bayi menggosok atau mencakar mukanya

 Bayi yang tidak dibedung mudah terkejut dan tidak tidur lena

 
Antara kebaikan membedung bayi:

• Bayi yang baru dilahirkan hingga berumur tiga bulan disarankan supaya dibedung.

• Bedung boleh me­ngelak bayi mudah terkejut dengan bunyi bising di sekelilingnya.

• Kain bedung lembut yang membalut bayi ­membuatkan bayi terasa seperti di dalam rahim ibunya.

• Bedung boleh me­ngelakkan bayi daripada menggosok atau mencakar mukanya sendiri terutama jika tidak dipakaikan sarung tangan.

• Bedung boleh mengelakkan bayi daripada kesan Moro (terkejut dengan sesuatu).

• Membedung bayi juga dipercayai boleh meredakan tangisan dan menenangkan bayi.



Continue Reading...